Cerita

HADIAH HARI JADI PERMAISURI BERUANG

Di dalam sebuah hutan tinggal sekeluarga beruang. Mereka amat suka makan madu. Setiap hari, keluarga beruang ini akan merayau-rayau di dalam hutan untuk mencari makanan kegemaran mereka ini.

Pada suatu pagi, beruang-beruang ini keluar mencari madu seperti biasa. Ketika sedang mencari-cari kalau-kalau ada sarang lebah di pokok-pokok berdekatan, si anak terlihat seekor rama-rama yang amat cantik. Rama-rama itu berterbangan ke sana ke mari. Rama-rama juga mencari madu seperti keluarga beruang itu.

Anak beruang berlari-lari mengejar rama-rama dan tidak menyedari yang dirinya telah terpisah agak jauh dari ibubapanya. Setelah beberapa lama mengejar rama-rama, tiba-tiba si anak beruang didatangi oleh seekor serigala yang sedang lapar. Menyedari yang ia sudah tidak dapat melarikan diri, anak beruang hanya menunggu kedatangan serigala sambil memikirkan cara untuk menipu serigala. Ia tahu serigala itu adalah seekor binatang yang bodoh dan tamak.

Serigala berasa pelik kerana anak beruang tidak melarikan diri apabila melihat kedatangannya.

“Wahai anak beruang! Apa yang sedang kamu buat di sini? Kamu tidak takutkah kalau-kalau aku ingin memakan kamu?” Tanya serigala bertalu-talu.

Tiba-tiba anak beruang ternampak rama-rama yang dikejarnya tadi dan segera mendapat satu idea untuk mengenakan serigala.

“Ohh…. Saya ingin menangkap rama-rama yang cantik itu untuk dijadikan kerongsang permaisuri,” kata anak beruang sambil berharap agar helahnya menjadi. Ia masih bimbang akan menjadi mangsa si serigala.

“Permaisuri akan menganugerahkan makanan dan harta yang banyak kepada sesiapa yang berjaya menangkap rama-rama itu” kata anak beruang lagi.

Apabila mendengar perkataan “harta” dari anak beruang, serta-merta timbul perasaan tamak di benak serigala.

“Di manakah permaisuri berada sekarang?” Tanya serigala inginkan kepastian. Ia sudah membayangkan kemewahan yang bakal diperolehinya jika dapat menangkap rama-rama itu. Anak beruang segera menunjukkan kea rah ibubapanya berada. Ia yakin yang bapanya pasti dapat menewaskan serigala itu.

Serigala mengejar rama-rama cantik yang berwarna-warni itu dan berjaya menangkapnya. Serigala terus berlari ke arah yang ditunjukkan anak beruang dan terlihat dua ekor beruang dewasa di atas bukit.

Ia menyangka itulah permaisuri beruang dan pengawalnya yang dimaksudkan oleh anak beruang tadi. Sebelum sempat serigala berkata bersuara, satu tamparan yang kuat singgah di mukanya. Bapa beruang menyangka yang serigala itu ingin menyerang mereka. Bapa beruang mengangkat dan menghumbankan serigala malang itu ke bawah bukit. Serigala mati serta-merta sebelum sempat menuntut ganjaran yang diidamkan.

Kedua ibubapa beruang bersyukur kerana anak selamat. Kejadian itu juga memberi pengajaran kepada anak beruang agar sentiasa berada di dalam kumpulan jika ingin mencari makanan. Malang tidak berbau. Oleh itu kita mestilah sentiasa berhati-hati di dalam segala tindakan yang akan kita lakukan.






2 comments: